LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


CADANGAN untuk menukarkan nama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (SIA) dilihat tidak bersesuaian dengan imej Malaysia di mata dunia.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Tahir berkata, ini kerana imej Malaysia lebih sinonim dan terkenal dengan ibu negara iaitu Kuala Lumpur di peringkat antarabangsa.

“Saya hormati pandangan pihak yang ingin menukarkan nama asal KLIA selepas mengambil kira faktor geografinya.

“Tetapi secara logiknya, perkara pertama yang akan terlintas dalam fikiran pelancong adalah ibu negara Malaysia iaitu Kuala Lumpur.

“Mesti mereka akan sebut Kuala Lumpur dahulu berbanding Sepang kerana Sepang hanya daerah di Selangor berbanding Kuala Lumpur yang lebih gah sebagai ibu negara,” katanya ketika ditemui, semalam.

Semalam Harian Metro melaporkan, cadangan penukaran nama KLIA terkandung dalam minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada Oktober lalu dan kini dikatakan sudah tersebar menerusi WhatsApp.

Dalam minit mesyuarat itu, antara lain menyebut cadangan nama baharu KLIA kepada SIA dan dinyatakan ia akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Pengangkut Negara.

Berita berkaitan

Nama KLIA kekal

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 10:05 AM