DATUK Seri Mohd Shafie Apdal (tiga dari kanan) bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (tiga dari kiri) dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah (dua dari kanan) ketika gimik perasmian serah terima Helikopter AgustaWestland AW139 di Pangkalan Polis Unit Udara Kota Kinabalu. FOTO Khairull Azry Bidin
Fardy Bungga
fardy@hmetro.com.my


PEMILIKAN aset Helikopter AgustaWestland AW139 oleh Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Sabah mampu memperkukuhkan keselamatan terutamanya di kawasan pantai timur negeri ini.

Ini berikutan kemampuan aset berkenaan yang dilengkapi sistem pandu arah canggih membolehkannya melakukan penerbangan pada waktu siang dan malam untuk berdepan jenayah rentas sempadan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ini adalah aset yang amat diperlukan untuk menjaga keselamatan dan kerajaan negeri amat mengalu-alukan penempatan aset seperti ini di Sabah.

Katanya, beliau yakin ia dapat meningkatkan keupayaan pihak berkuasa dalam menjaga keselamatan di Sabah khususnya berdepan pelbagai ancaman jenayah sebelum ini.

“Helikopter ini mempunyai kemampuan terbang pada kelajuan maksima mencecah 150 batu nautika atau bersamaan 300 kilometer sejam dengan durasi empat jam penerbangan di udara.

“Sudah pasti ini salah satu usaha baik dalam menjaga keselamatan negara menerusi pemantauan lebih pantas dan efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Aset Helikopter AgustaWestland AW139 di Pangkalan Gerakan Udara, Polis, di Tanjung Aru, Kota Kinabalu, hari ini.

Mohd Shafie berkata, beliau juga turut meluluskan permohonan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperbesarkan hangar PGU di sini untuk menempatkan helikopter berkenaan serta memudahkan penyelenggaraan aset.

“Saya sudah minta pihak pemaju Tanjung Aru Development Authority (TADA) untuk berbincang dengan pihak PDRM bagi urusan pembesaran PGU di sini dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam ucapannya berkata, penempatan helikopter ini di Sabah bertujuan memenuhi keperluan operasi di Malaysia Timur serta sebagai tambahan kepada dua helikopter bersaiz kecil dan dua kapal terbang enjin tunggal sedia ada di Pangkalan PGU ini.

Katanya, apa yang jelas, peranan PGU Sabah tidak hanya dalam bentuk penguatkuasaan undang-undang melalui platform udara tetapi turut mencakupi perkhidmatan bantuan kepada agensi kerajaan, swasta dan masyarakat di negeri ini.

“PGU Sabah juga banyak menyumbang kepada kejayaan operasi-operasi yang dijalankan, membabitkan pesawat udara, antaranya penerbangan pemantauan udara di kawasan persempadanan bagi mengesan aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan terutamanya Kidnap For Ransom (KFR).

“Selain itu, elemen penting dalam PDRM juga bertindak sebagai mata di udara kepada pasukan sahabat, di samping menjadi penggerak logistik utama terutamanya semasa insiden pencerobohan Lahad Datu,” katanya.

Mohd Fuzi berkata, beliau berharap dengan penambahan aset baharu ini akan menjadi perangsang kepada PGU Sabah untuk terus memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada segenap ahli masyarakat di Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 7:22 PM