Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@nstp.com.my


SEBUAH restoran di SS 15/4, Subang Jaya, diarahkan tutup serta-merta kerana premis itu dipenuhi lipas.

Dalam Operasi Bersepadu Pemeriksaan Makanan dan Perniagaan Kawasan Komersial Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) itu, 50 premis makanan di kawasan berkenaan diperiksa bagi memastikan faktor kebersihan tidak diabaikan premis makanan.

Pengarah Kesihatan MPSJ, Dr Roslan Mohamed Hussin berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, lipas berkenaan ‘menyorok’ di dalam peti sejuk di bahagian dapur restoran.

“Kali ini, kami adakan operasi bersepadu bersama jabatan lain seperti Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Bangunan serta Jabatan Pengurusan Alam Sekitar.

“Objektif pemeriksaan ini bukan hanya memastikan kebersihan dalam premis, malah membabitkan kesalahan lain seperti pembinaan haram dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan.

Beliau berkata, seramai 30 anggota terbabit dalam operasi selama dua hari bermula semalam.

Menurutnya, bermula Januari hingga Mac, hampir 600 premis makanan diperiksa dan 12 restoran diarahkan tutup.

Operasi dijalankan di bawah Undang-Undang Kecil Establishment Makanan (MPSJ) 2007 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPSJ) 2007.

From: Hidayatul akmal

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 7:21 PM
PEGAWAI Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kesihatan MPSJ, Nordin Harun menunjukkan lipas dijumpai di dapur kedai makan dalam operasi bersepadu pemeriksaan makanan dan perniagaan di kawasan komersial SS 15/4, Subang Jaya, hari ini. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD.