SEBAHAGIAN PATI dipercayai etnik Rohingya (gambar arkib NSTP). FOTO Ihsan APM.
DziyaulAfnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


POLIS mendedahkan wujud ‘entiti ghaib’ yang menyediakan bantuan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya di perairan antarabangsa sehingga mendorong mereka dua kali menceroboh perairan Perlis, tahun ini.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, pihaknya percaya entiti atau tangan ghaib itu turut menyediakan kemudahan kepada pelarian di pulau terpencil sebelum mereka meneruskan perjalanan ke negara ini.

Namun, beliau enggan mendedahkan perkara berkenaan secara terperinci buat masa ini kerana ia masih di dalam siasatan rapi dan risikan terperinci oleh polis.

“Tangan ghaib itu turut memberikan makanan dan minuman atau dalam erti kata lain, kemudahan transit kepada mereka di pulau berkenaan.

“Kita percaya ada ‘pihak-pihak’ di sana yang mendorong kegiatan ini demi kepentingan pihak tertentu,” katanya ketika ditemui Lawatan Kebajikan Ke Rumah Balu anggota Polis Bantuan, Konstabel Muhammad Amirul Naim Aziz di Batu 20, Kampung Sena Luar, Padang Besar, hari ini.

Pada majlis itu, Noor Mushar turut menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah hampir RM2,000 kepada balu Muhammad Amirul, Ku Shakila Ku Sharudin, 26 sebagai bantuan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama antara Polis di negeri ini bersama pihak berkuasa Thailand, Noor Mushar berkata, beliau sudah bertemu dengan Ketua Polis Wilayah Satun, Kolonel Pacharapol Na Nakorn dalam satu perjumpaan khas baru-baru ini.

“Perjumpaan itu saya kira agak positif kerana mereka (pihak berkuasa Thailand) bersedia mengerahkan aset polis dan ketenteraan, khususnya di perairan Thailand.

“Malah, mereka sering berkongsi maklumat dengan kita, bukan sahaja mengenai PATI malah mengenai kegiatan penyeludupan ketum juga,” katanya.

Dalam tempoh dua bulan ini, sudah dua kali perairan Perlis diceroboh pelarian etnik Rohingya di Pantai Sungai Bahru, Kampung Belati.

Kesemua mereka tiba di perairan berkenaan dengan menaiki bot pancung dan tiba seawal 7 pagi sebelum disedari penduduk kampung yang ketika itu keluar bekerja dan menjalankan aktiviti perikanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 7:20 PM