Muhammad Rizuwan menerima bantuan barangan keperluan dapur di Kampung Ladang, Tanjung Kupang, Iskandar Puteri. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my


“SAYA tidak dapat ke laut kerana buat masa ini saya perlu menjaga isteri yang masih dalam pantang.

“Saya mohon netizen yang tidak mengetahui perkara sebenar berhenti menyebarkan gambar kami,” kata nelayan, Muhammad Rizuwan Majid, 29.

Muhammad Rizuwan yang juga bapa kepada tiga anak merayu pengguna media sosial supaya berhenti menularkan gambar keluarganya yang hidup serba kekurangan dan tinggal di pondok kecil di Kampung Ladang, Tanjung Kupang, Iskandar Puteri.

Menurut Muhammad Rizuwan, penularan gambar itu di luar pengetahuannya dan dia tidak tahu bagaimana kisah keluarganya tular dan menjadi bualan ramai.

“Saya masih ada untuk keluarga saya dan Insya-Allah dengan usaha berterusan, kami mampu hidup dengan lebih baik.

“Perbuatan netizen yang menularkan gambar dan kisah kami tanpa kebenaran menyinggung perasaan kami, terutama isteri yang tertekan.

“Walaupun tidak banyak (pendapatan) dengan hanya bekerja kampung, saya tetap cuba mencari rezeki untuk keluarga makan setiap hari dan yakin mampu mengubah nasib keluarga.

“Apa pun saya tidak jangka ramai yang kunjungi kami hari ini dan terima kasih atas keprihatinan ditunjukkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ladang, Iskandar Puteri, hari ini.

Kisah akeluarg Muhammad Rizuwan yang tinggal di pondok tanpa bekalan air dan elektrik tular di media sosial sejak dua hari lalu hingga menarik perhatian netizen di seluruh negara.

Difahamkan pasangan itu tinggal di pondok berkenaan selepas berpindah dari bengkel berhampiran.

Buat masa ini, mereka menumpang mandi di rumah saudara berhampiran.

Muhammad Rizuwan berkata, dia bekerja sebagai nelayan tidak berpeluang menjalankan aktiviti menangkap ikan di laut sejak kebelakangan ini kerana perlu menjaga isterinya yang baru melahirkan bayi perempuan berusia 22 hari.

“Saya mencari rezeki di laut dan melakukan kerja kampung bagi menampung kehidupan keluarga,” katanya.

Keluarganya turut menerima sumbangan barangan keperluan harian daripada Pasar Raya Econsave Cash and Carry bernilai RM1,000 serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Johor.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga Pertubuhan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat PH Johor, Nor’aini Adnan berkata, pihaknya bersama agensi lain akan berusaha mendapatkan rumah transit kepada keluarga itu secepat mungkin sebelum ditempatkan di Program Perumahan Rakyat (PPR).

Ketua Kampung Ladang, Nordin Jaafar berkata, sudah berusaha mendapatkan rumah yang boleh didiami keluarga berkenaan, namun memerlukan sedikit kerja baik pulih.

“Saya ada carikan rumah kecil di Kampung Ladang Darat yang sudah dilengkapi bekalan air dan elektrik namun kita perlukan dana kira-kira RM2,000 untuk baik pulih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 7:14 PM