Dua warga asing ditahan dalam Op Dadu Khas semalam. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


KEGIATAN judi dalam talian di sebuah premis di Jalan Pudu, Kuala Lumpur yang baru beroperasi seminggu terbongkar semalam.

Premis itu diserbu sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dalam Operasi Dadu Khas.

Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Rohazah Alwi berkata, serbuan 8.20 malam itu hasil maklumat dan risikan pihaknya.

“Dua warga asing termasuk seorang wanita masing-masing berusia 32 dan 33 tahun ditahan.

“Mereka dipercayai berperanan sebagai penjaga serta pembantu penjaga premis dengan menerima gaji RM1,400 sebulan.

“Kami turut merampas pelbagai barangan termasuk 16 komputer riba, tetikus, kabel pengecas, modem serta wang tunai RM200,” katanya hari ini.

Rohazah berkata, modus operandi sindiket itu adalah beroperasi 24 jam setiap hari dan hanya membenarkan pelanggan tetap saja masuk.

“Kami percaya ada seorang pengurus premis yang memainkan peranan mencari pelanggan terdiri daripada pelanggan lama yang masih lagi bebas.

“Judi dalam talian ini beroperasi hanya menggunakan wang tunai yang perlu dibayar pelanggan terlebih dulu kepada penjaga kaunter.

“Wang pertaruhan itu kemudian dimasukkan di setiap komputer riba pelanggan terbabit,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 6:30 PM