AHMAD Nasir menyerahkan replika kunci rumah kepada Mohd Hilmi. FOTO Abnor Hamizam
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


REJIMEN Askar Jurutera Diraja (RAJD) membantu veteran pasukan itu yang berpendapatan rendah memiliki rumah menerusi projek jiwa murni diadakan di Kampung Serting Ulu, Simpang Pertang, Negeri Sembilan, semalam.

Ketua Jurutera RAJD Mejar Jeneral Datuk Ahmad Nasir Abd Rahman berkata, projek pembinaan rumah veteran terbabit adalah aktiviti dilaksanakan sempena sambutan Hari RAJD Ke-66.

Katanya, sasaran program itu adalah menyalurkan bantuan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya anggota pernah berkhidmat di pasukan RAJD.

“Bagi kawasan 3 Divisyen ini, peserta terpilih adalah Pegawai Waran II (bersara) Mohd Halmi Mohd Sani yang pernah berkhidmat bersama RAJD dan dia menamatkan perkhidmatan pada 24 April 2003.

“Program ini adalah inisiatif membantu golongan veteran RAJD berpendapatan rendah dengan menyediakan tenaga kerja bagi pembinaan yang dilaksanakan dan peserta hanya perlu menyediakan kos bahan bina saja.

“Pembinaan dilakukan anggota pasukan Sembilan Skuadron RAJD yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka, bermula 14 Februari lalu dan mengambil masa 41 hari untuk disiapkan dengan kos pembinaan berjumlah RM 45,000,” katanya dalam sidang media majlis penyerahan kunci rumah kepada veteran di Kampung Serting Ulu, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 6:26 PM