BAS henti-henti terbakar di bahagian enjin di hadapan sekolah di Pahi, Kuala Krai, hari ini dan pemandu serta lima penumpang sempat menyelamatkan diri. FOTO ihsan pembaca.
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


PEMANDU dan lima penumpang berdepan detik cemas selepas bas henti-henti dinaiki terbakar di bahagian enjin di Jalan Kuala Krai-Gua Musang di Pahi, Kuala Krai, hari ini.

Dalam kejadian 3 petang itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan selepas pemandu dan penumpang sempat menyelamatkan diri.

Difahamkan kebakaran disedari penunggang motosikal yang berada di belakang bas sebelum memaklumkan kejadian kepada pemandu.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata, bas membawa lima penumpang itu dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, bas itu terpaksa berhenti selepas menyedari kebakaran di bahagian enjin.

“Bagaimanapun, pemandu dan semua penumpang sempat menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Mohamad Hanif Che Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.08 petang sebelum lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, api sedang marak dan kami mengambil masa selama 15 minit untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran itu yang mengakibatkan bas itu musnah 80 peratus.

“Tiada kemalangan jiwa dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 6:20 PM