Malaysia bersedia mengendalikan ruang udara selatan Johor. FOTO Zain Ahmed
Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my


KERAJAAN Malaysia dan Singapura bersetuju menubuhkan jawatankuasa tertinggi bagi mengkaji semula Surat Perjanjian Operasi 1974 membabitkan pengendalian ruang udara selatan Johor.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya sudah mengemukakan cadangan kepada Singapura untuk mengendalikan ruang udara itu secara berperingkat dan berfasa.

Beliau berkata, selepas 45 tahun ruang udara selatan Johor diwakilkan kepada Singapura bagi penyediaan kawalan trafik udara sejak 1974, kini Malaysia memiliki fasiliti bersesuaian dan bersedia daripada segi teknikal untuk melakukannya sendiri.

Pada masa sama katanya, Malaysia banyak melakukan pelaburan peralatan untuk menjalankan tugas berkenaan.

“Kita kini membina menara kawalan trafik udara baru di Sepang dan akan siap dalam beberapa bulan akan datang, justeru saya yakin Malaysia mampu mengendalikan ruang udaranya sendiri.

“Kita sudah memberi cadangan kepada Singapura untuk mengambil alih secara berperingkat dan mengikut fasa yang akan diumumkan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir sesi taklimat KTMB di Jalan Kempas Lama hari ini.

Ruang udara itu diletakkan di bawah pengurusan Singapura melalui Surat Perjanjian Operasi di antara Kuala Lumpur dan Pusat Kawalan Kawasan Singapura Mengenai Ketibaan, Keberangkatan dan Penerbangan Singapura 1974 (OLOA 1974).

Ketika OLOA 1974 ditandatangani, Kawasan Maklumat Penerbangan Kuala Lumpur (FIR) masih di peringkat awal dan fasiliti Malaysia ketika itu tidak mencukupi.

Berikutan itu, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mengesyorkan penjagaan ruang udara diwakilkan kepada Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 6:10 PM