ANGGOTA polis menggunakan pemotong besi bagi memudahkan pemotongan elektrik dilakukan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


WALAUPUN sudah dua kali diserbu, sebuah premis di Taman Selatan, Mergong, Alor Setar,

masih ‘berdegil’ menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.

Disebabkan tidak serik melakukan kegiatan itu, polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik di premis berkenaan, hari ini, bagi mengelak kegiatan sama berulang.

Premis yang berselindung di sebalik kedai gunting rambut itu dipercayai baru tiga minggu beroperasi dengan menjual kad tambah nilai bagi membolehkan kaki judi mendapatkan nombor akses sebelum meneruskan perjudian.

Ketika serbuan 2 petang hari ini, lima lelaki berusia 30-an baru hendak menambah kad tambah nilai beredar dari kawasan berkenaan sebaik menyedari kehadiran polis.

Seorang pekerja wanita berusia 20 tahun mendakwa, dia tidak tahu mengenai kegiatan perjudian ditawarkan kerana baru bekerja di situ tidak sampai sebulan.

Katanya, dalam sehari kira-kira 50 pelanggan akan datang ke premis itu yang dibuka 24 jam dan dia bekerja mengikut syif serta bertukar pekerja setiap 12 jam.

“Sehari boleh dapat RM1,000 sebab pelanggan yang datang sini beli tambah nilai antara RM10 hingga RM50,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, dalam operasi berkenaan lapan premis masing-masing satu di Kuala Kedah, Kota Sarang Semut dan Pokok Sena serta lima di Kota Setar dipotong bekalan elektrik kerana menjalankan perjudian dalam talian.

Katanya, semua lapan premis yang diserbu itu didapati masih melakukan kegiatan sama dan pihaknya memotong bekalan elektrik dengan bantuan kakitangan TNB.

“Polis turut menahan tiga wanita dan seorang lelaki berusia antara 20 hingga 38 tahun disyaki pekerja di tiga daripada lapan premis yang diserbu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 6:01 PM