Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


KIRA-KIRA 300 tan metrik tumpahan minyak ‘Marine Fuel Oil’ mencemari perairan Tanjung Balau dan Batu Layar di Kota Tinggi, dipercayai berpunca daripada aktiviti pembuangan sisa minyak oleh kapal tangki sejak dua hari lalu.

Pengarah Jabatan Laut Wilayah Selatan (Johor), Dickson Dollah berkata, anggaran itu dibuat berdasarkan analisa perisian komputer membabitkan lokasi pencemaran iaitu seluas empat batu nautika dari pesisir pantai.

Katanya, berikutan itu seramai 18 anggota bot bersama unit kecemasan jabatan itu digerakkan bagi melaksanakan kerja pembersihan tumpahan minyak di perairan berkenaan sejak operasi hari pertama, hari ini.

“Setakat ini, Jabatan Laut Wilayah Selatan sudah menggerakkan bot Al Nilam untuk melaksanakan kerja pembersihan tumpahan minyak di perairan Tanjung Balau dan Batu Layar.

“Operasi pembersihan bermula 6 pagi tadi, selain menunggu pergerakan agensi lain untuk melaksanakan kerja pembersihan di pantai,” katanya ketika ditemui membuat tinjauan di lokasi pencemaran.

Beliau turut membawa wartawan dan jurugambar Harian Metro menaiki bot Al Nilam bagi meninjau lokasi pencemaran yang mengambil masa kira-kira 40 minit dari Tanjung Balau.

Katanya, berdasarkan petunjuk aktiviti pembuangan minyak disyaki dilakukan kapal tangki dalam tempoh 72 jam lalu.

Menurutnya, pada masa sama pihaknya menggunakan semburan kimia dilakukan bagi menguraikan minyak di kawasan itu.

“Semburan kimia akan memudahkan proses penguraian minyak, apabila minyak terurai ia akan menjadi nipis dan tersejat sendiri.

“Selain itu, sisa tumpahan yang terperangkap pada peralatan khas menyerap minyak (oil boom) akan disedut menggunakan ‘skimmer’,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian terbabit bukan akibat tumpahan minyak tetapi dibuang oleh kapal di perairan berkenaan.

Katanya, penemuan sisa minyak itu bukan pertama kali berlaku di Tanjung Balau di sini, sebaliknya hampir setiap tahun.

Menurutnya, Jabatan Laut Wilayah Selatan menerima banyak kapal berlabuh di Pengerang dan usaha membanteras kegiatan itu tidak mudah.

Harian Metro, semalam melaporkan, Jabatan Laut Wilayah Selatan menemui tumpahan minyak sepanjang kira-kira satu kilometer di perairan Tanjung Balau dan Batu Layar di sini.

Dickson dipetik sebagai berkata, anggota penguat kuasa di lapangan menemui tumpahan minyak itu kira-kira 3 petang semalam dan sehingga kini minyak bertompok-tompok itu sudah berada di pantai Tanjung Balau, manakala sebahagiannya masih di laut.

Berita berkaitan

Angkara siapa?

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 2:23 PM
KAPAL Al- Nilam Jabatan Laut menjalan operasi memantau lokasi kesan tumpahan minyak di tengah laut dan kini sudah merebak ke pesisir Pantai Tanjung Balau, Desaru di Kota Tinggi. FOTO Ihsan Jabatan Laut Malaysia