GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


PEMBANTU tadbir Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, direman lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes bersubahat mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM15,000.

Suspek wanita berusia 36 tahun yang bertugas sebagai Pembantu Operasi di hospital berkenaan dibawa ke Mahkamah Sesyen oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor pagi tadi.

Perintah reman dikeluarkan Pendaftar kanan Mahkamah, Faridatul Farrah Mohd Sukri sebelum suspek dibawa pulang ke pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan.

Semalam Harian Metro melaporkan, SPRM Johor menahan seorang penjawat awam kerana bersubahat dengan kontraktor pembekal untuk mengemukakan tuntutan palsu ke atas HSA.

Suspek dikatakan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM15,000 bagi menyediakan makanan dan minuman untuk beberapa program kursus sepanjang tahun lalu, sedangkan perkhidmatan itu tidak dilaksanakan.

Suspek wanita bertugas sebagai Pembantu Operasi ditahan 2.30 petang semalam di Pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan.

Pada 1 dan 4 April lalu, SPRM menahan lima suspek iaitu empat lelaki dan seorang wanita lingkungan 30-an hingga 50-an termasuk pemilik syarikat pembekal makanan dan minuman bagi membantu siasatan kes sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, sabit kesalahan boleh didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Berita berkaitan

Kakitangan HSA ditahan kemuka tuntutan palsu

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 1:27 PM