SALAH satu kapal berjaya ditahan selepas didapati menyedut pasir di Tanjung Kling, Melaka. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka menahan dua kapal korek dipercayai melakukan aktiviti mengorek dan memindahkan pasir secara tidak sah di kedudukan 5 batu nautika Barat Daya Tanjung Kling, tengah hari semalam.

Kedua-dua kapal korek ditahan kira-kira jam 12 tengah hari hasil risikan dan maklumat awam diterima Maritim mengenai aktiviti haram itu.

Pengarah Maritim Melaka/Negeri Sembilan, Kepten Maritim Amran Daud berkata, ketika melakukan operasi harian, sepasukan anggota APMM menyedari kehadiran kapal dalam keadaan mencurigakan melakukan aktiviti pengorekan dan pemindahan pasir laut.

Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap kapal berkenaan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti itu.

“Turut ditahan empat kru iaitu lelaki warga China yang berada di atas kapal.

“Semua empat kru kapal ditahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 untuk diambil keterangan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam usaha mengesan pemilik kedua-dua kapal berkenaan.

“Semakan dilakukan mendapati kapal berkenaan berdaftar di Republik Sierra Leone dan usaha menjejaki pemiliknya sedang dijalankan selain kes disiasat mengikut Akta Pelantar Benua 1952,” katanya.

Amran berkata, kerjasama dan maklumat awam dialu-alukan dalam membantu pihaknya menyekat aktiviti jenayah perairan serta penguatkuasaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 1:02 PM