KEMALANGAN maut yang membabitkan penunggang motosikal, NoorAzraf Ahmad, 27, dengan sebuah kereta jenis Kia Forte di Kilometer 57.9 Lebuhraya Utara Selatan. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


PENUNGGANG motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 57.9 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Selatan, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 1.50 pagi, mangsa, Noor Azraf Ahmad, 27, dari Kampung Guar Panji, Bukit Keteri, Kangar di Perlis meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah kereta dengan sebuah motosikal.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Kia Forte yang dipandu lelaki berusia 30 tahun yang berasal dari Taman Ria, Padang Serai itu memandu di lorong kiri dari Alor Setar menghala ke Sungai Petani, namun apabila sampai di tempat kejadian, sebuah motosikal masuk secara tiba-tiba dari laluan kecemasan ke laluannya.

“Pemandu kereta itu tidak sempat mengelak dan membrek kenderaannya lalu melanggar bahagian belakang motosikal mangsa.

“Penunggang motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta itu tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arriz Sham berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 10:38 AM