50 ketulan ganja mampat dirampas dalam serbuan ke atas wanita berusia 20-an di Serdang, kelmarin. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


POLIS menahan wanita dipercayai pengedar dadah bersama rampasan ganja seberat 50 kilogram yang diletakkan dalam but kereta dipandunya di Lestari Perdana 3, di Serdang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, wanita berusia 20-an itu ditahan kira-kira 6 petang, kelmarin, ketika dalam perjalanan dari Kelantan ke kawasan berkenaan dipercayai bagi menghantar bekalan dadah di sekitar Lembah Klang.

“Pemeriksaan di dalam but kereta Toyota Vios dipandu wanita terbabit menemui beberapa guni baja dan makanan kucing. Hasil semakan terhadap guni terbabit menemui 50 ketulan ganja mampat RM150,000 di dalam guni berkenaan.

“Soal siasat terhadap suspek berkenaan mendapati dia mendapat bekalan dadah itu dari Kelantan sebelum diedarkan di sekitar Lembah Klang. Wanita itu dipercayai baru saja bergiat aktif mengedar dadah berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Ismadi berkata, wanita itu direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 23 April nanti bagi membantu siasatan.

“Kami sedang mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah dilakukan wanita berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 10:07 AM