TUMPAHAN minyak yang dikesan. FOTO ihsan Jabatan Laut
Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my


JABATAN Laut Johor menemui tumpahan minyak sepanjang kira-kira satu kilometer di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi, hari ini.

Pengarahnya Dickson Dollah berkata, anggota penguat kuasa di lapangan menemui tumpahan minyak itu kira-kira 3 petang.

Katanya, sehingga kini minyak bertompok-tompok itu sudah berada di pantai Tanjung Balau, manakala sebahagian masih berada di laut.

“Jenis minyak belum disahkan, namun kami percaya ia jenis Marine Fuel Oil (MFO).

“Buat masa ini, kami belum dapat mengesahkan mana-mana kapal yang bertanggungjawab kerana dimaklumkan tiada kapal berada di kawasan berkenaan yang boleh dikaitkan dengan tumpahan minyak.

“Jabatan Laut sudah memaklumkan kejadian kepada Jabatan Alam Sekitar Johor dan mereka akan menjalankan pemeriksaan esok untuk membuat penilaian tumpahan minyak di sepanjang pantai berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, Bot Al Nilam iaitu bot Jabatan Laut Wilayah Selatan sudah diarah melakukan kerja pembersihan dan akan bergerak dari Tanjung Pengelih ke lokasi berkenaan pada 6 pagi esok.

Katanya, pasukan ‘Oil Spill Response’ Jabatan Laut sudah diarahkan bersedia dengan peralatan tambahan seperti ‘absorbent boom’ dan bekalan minyak petrol untuk ke Tanjung Pengelih malam ini.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) Pengerang juga sudah dimaklumkan untuk membantu pembersihan di pantai.

“Berdasarkan pergerakan ‘trajectory’ minyak yang dibuat, didapati tumpahan berpunca dari kawasan perairan Tompok Utara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 9:45 PM