LELAKI berusia 21 tahun ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh dari feri persiaran di perairan Pulau Setindan, Mersing. FOTO Ihsan APM
Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my


LELAKI yang terjatuh dari feri persiaran di perairan Pulau Setindan, Mersing, semalam, ditemui lemas, hari ini.

Mayat Luqman Hakimi Mat Noor, 21, ditemui terapung di perairan itu, 1.55 tengah hari ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mersing ketika dihubungi berkata, Luqman Hakimi terjatuh dari feri persiaran ke Pulau Tioman, 3.30 petang semalam.

Katanya, mayat mangsa ditemui pada jarak kira-kira 500 meter dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) oleh kru feri persiaran sama yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Pusat Kawalan Operasi Daerah APM Mersing menerima maklumat daripada Balai Polis Mersing dan SAR dilancarkan petang semalam.

“Mayat mangsa ditemui di antara jeti kastam dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Mersing.

“SAR dianggotai lima anggota, termasuk seorang pegawai APM, tujuh anggota bomba, lapan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan empat anggota Pasukan Polis Marin (PPM),” katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat.

Sementara itu, Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, Samsi Hasmurin berkata, ketika operasi, pasukan APM menjalankan SAR di Jeti Mersing ke Teluk Seri Pantai, pasukan Bomba dan Penyelamat mencari dari Jeti Mersing ke Pantai Seri Apu sehingga pesisiran pantai Teluk Arung.

“APMM dan PPM membuat pencarian di permukaan pantai dan mangsa ditemui orang awam yang membantu operasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 4:39 PM