PENAGIH dadah yang melarikan diri menggunakan motosikal apabila diserbu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kota Setar di ‘port’ penagihan di Kampung Alor Sekawan pada Ops Cegah, semalam. FOTO Sharul Hafiz Zam
Aizat Sharif
mohd.aizat@mediaprima.com.my


HAJAT lelaki ingin menghisap dadah tidak kesampaian apabila ditahan sepasukan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang menyerbu sarang dadah di di Kampung Alor Sekawan, Mukim Tajar, di Alor Setar, semalam.

Malah dia yang menyedari kehadiran pihak AADK cuba berpatah balik dengan memecut motosikal ditunggang melalui kawasan bendang kering sebelum terbabas ketika ingin keluar dari kawasan bendang itu.

Dalam operasi itu, ada penagih dadah yang memberi alasan hendak membeli susu anak, namun melencong ke situ ingin melepaskan gian bersama rakan penagih lain.

Ketua Unit Pencegahan AADK Kota Setar dan Pokok Sena yang juga Ketua Operasi ‘Ops Cegah’, Suria Azlina Shaarin berkata, operasi semalam yang dijalankan selama enam jam bermula 9 pagi itu mensasarkan kumpulan penagih dadah di kawasan kampung sekitar daerah Alor Setar seperti Kampung Sungai Baru Gunung, Alor Janggus, Kampung Sematang Pinang, Kuala Kedah, Kampung Alor Sekawan dan Kampung Teluk Kandeh, di Mukim Tajar, di sini.

“Dalam operasi berkenaan, seramai 20 lelaki diperiksa dan 16 daripada mereka didapati positif dadah opiat dan syabu pada saringan ujian air kencing mereka.

“Operasi ini dilakukan berdasarkan aduan yang dilakukan oleh penduduk serta ahli keluarga yang sudah tidak tahan melihat kegiatan penyalahgunaan dadah berlaku di kawasan serta kediaman mereka,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan.

Katanya, kebanyakan penagih yang ditahan adalah berusia antara 18 hingga 50 tahun.

“Penagih dadah yang ditahan pula adalah penagih dadah tegar.

“Kita turut menemui bahan seperti dadah dipercayai syabu serta alat menghisap dadah daripada suspek,” katanya.

Semua yang ditahan dibawa ke pejabat AADK daerah Kota Setar dan Pokok Sena di Wisma Persekutuan untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Pusat Tahanan Reman, Serdang Kedah.

Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 1:43 PM