Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


SEBANYAK 68 motosikal musnah dalam kebakaran di parkir motosikal di Taman Alor Vista Relau, Bayan Lepas, jam 2.50 pagi ini.

Dalam kejadian itu, 40 motosikal hangus 100 peratus manakala 28 lagi terbakar 50 peratus dan empat kereta rosak akibat terdedah kepada bahang api.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Saadon Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.51 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian 14 minit kemudian.

Katanya, anggota bomba bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong dan BBP Bayan Baru mendapati kebakaran sudah marak dan hanya disedari penghuni di situ.

“Bomba kemudian membuat pengawalan dan pemadaman api sebelum berjaya dikawal pada jam 3.10 pagi.

“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 3.34 pagi dan pihaknya masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian bagi menentukan punca dan jumlah kerugian ekoran kejadian ini,” katanya.

Menurutnya, punca kejadian masih disiasat dan tidak menolak kemungkinan perbuatan khianat menggunakan api.

Katanya, tiada kecederaan dilaporkan dan operasi tamat jam 4 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 1:12 PM
Keadaan motosikal yang musnah terbakar di parkir Taman Alor Vista Relau, Bayan Lepas. FOTO Ihsan Pembaca