WANITA warga emas meninggal dunia akibat dilanggar SUV Toyota Harrier ketika melintas di Jalan 5/3D Taman Sri Sinar, Segambut, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


WANITA warga emas maut dilanggar kenderaan utiliti sukan (SUV) ketika melintas jalan dekat Jalan 5/3D Taman Sri Sinar, Segambut, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian 7 pagi itu, pemandu SUV Toyota Harrier terbabit tidak menyedari kemalangan itu dan hanya memberhentikan kenderaan selepas dimaklumkan orang awam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Sarifudin Mohd Salleh berkata, mangsa yang berusia 77 tahun itu disahkan maut di lokasi kejadian akibat parah pada kepala dan badan.

“Kemalangan berlaku ketika pemandu Toyota Harrier dalam perjalanan untuk menjamu selera di sebuah kedai makan berhampiran lokasi kejadian.

“Ketika melalui jalan selekoh untuk masuk ke jalan hadapan kedai makan berkenaan, lelaki berusia 60 tahun itu terdengar orang menjerit menyatakan kenderaannya terlanggar seorang pejalan kaki yang cuba melintas ke seberang jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu kemudiannya memberhentikan kenderaan dan melihat mangsa berada di bawah kenderaan terbabit.

Katanya, pemandu itu kemudiannya menggerakkan kenderaannya ke hadapan untuk mengeluarkan mangsa sebelum menghubungi ambulans.

“Pasukan perubatan yang tiba bersama ambulans mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.

“Siasatan kes diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 11:34 PM