Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor menahan 84 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia selepas dipercayai cuba menyusup keluar dari negara ini dalam serbuan Ops Landai Khas di kawasan Tanjung Rhu hingga FELDA Tenggaroh, Mersing, semalam.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, kesemua PATI berusia antara 18 bulan hingga 57 tahun ditahan ketika cuba pulang menyambut perayaan Aidilfitri menerusi laluan yang tidak diwartakan.

Katanya, 82 individu membabitkan 57 lelaki, 24 wanita dan seorang kanak-kanak lelaki ditahan bersama dua tekong lelaki yang bertindak sebagai ‘transporter’ berusia 51 tahun dan ‘runner’ berusia 26 tahun, kira-kira 6 petang.

“Operasi yang dianggotai empat pegawai dan 15 anggota ini dijalankan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing.

“Sindiket ini mula aktif ketika menjelangnya perayaan Aidilfitri yang akan disambut pada Jun depan. Bagaimanapun, PPM Wilayah Dua mengambil langkah proaktif dengan melancarkan operasi khas bagi menahan ketua sindiket dan PATI,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, turut dirampas ialah tiga kereta dirampas yang dipercayai digunakan sindiket terbabit sebagai pengangkutan untuk membawa PATI.


PASUKAN Polis Marin Wilayah Dua (PPM W2) Johor menahan sekumpulan PATI dalam operasi Op Landai Khas di Mersing. FOTO Ihsan Polis Marin

Paul Khiu berkata, PATI terbabit dipercayai dibawa dari perkampungan ke kawasan pesisir pantai sebelum diambil oleh bot pancung.

Katanya, kesemua tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke IPD Mersing untuk tindakan lanjut.

“Pada masa sama, PPM Wilayah Dua Johor akan sentiasa memantau dan melaksanakan operasi bagi memastikan tiada penyusupan keluar atau masuk menerusi laluan yang tidak diwartakan.

“Dua tekong yang ditahan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007, manakala 82 PATI selebihnya ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), dan kes disiasat oleh Pegawai Penyiasat IPD Mersing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 9:42 PM