GAMBAR Hiasan
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


TIGA lelaki menyamar sebagai anggota polis dan memeras ugut dua peniaga warga asing di sekitar Brickfields, Kuala Lumpur, menerima padah apabila ditahan, semalam.

Dalam kejadian berasingan pada 13 dan 14 April lalu, kedua-dua mangsa mengalami kerugian wang tunai dianggarkan berjumlah RM3,800 dan RM5,000 serta beberapa barang berharga lain.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, suspek memperkenalkan diri sebagai anggota polis kononnya mahu melakukan pemeriksaan lesen dan dokumen pekerja sebelum memeras ugut.

“Pada 13 dan 14 April lalu, dua kejadian samun dilaporkan di sebuah kedai runcit dan kedai makan di Brickfields membabitkan tiga suspek lelaki menyamar sebagai anggota polis.

“Mangsa samun dalam kedua-dua kejadian membabitkan warga asing iaitu tiga lelaki warga Bangladesh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ruslan berkata, suspek memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), kemudian melakukan pemeriksaan lesen premis dan pengenalan diri pekerja, seterusnya memeras ugut mangsa supaya menyerahkan wang serta barang berharga jika tidak mahu ditangkap.

“Dalam kejadian di kedai runcit, mangsa mengalami kerugian wang tunai RM3,800. Manakala, mangsa kejadian kedua di kedai makan mengalami kerugian wang tunai kira-kira RM 5,000, satu komputer riba, tiga telefon bimbit dan 10 kad sim telefon. Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Tambah Ruslan, susulan kejadian itu dan bertindak di atas maklumat, sepasukan anggtoa dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Brickfields menjalankan operasi mengesan dan menangkap suspek, semalam.

Katanya, serbuan dilakukan di kondominium sekitar Jalan Klang Lama dan Jalan Sultan Ismail, dan hasil serbuan berjaya menahan serta menangkap tiga suspek lelaki berusia dari 25 hingga 30 tahun bagi membantu siasatan.

“Beberapa barang dipercayai ada kaitan dengan kejadian dilaporkan turut dirampas antaranya lapan telefon pintar pelbagai jenama, satu komputer riba jenama Lenovo, sebuah kereta Perodua Myvi dan sepasang gari.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap semua suspek didapati negatif. Mereka ditahan reman selama lima hari sehingga 20 April depan,” katanya.

Menurut Ruslan, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan polis masih menjalankan siasatan susulan termasuk untuk mengesan pembabitan suspek dengan kes di lokasi lain.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Mohd Aznal Alawi di talian 016-839 0236 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 7:21 PM