BOT pukat tunda kelas C ditahan Maritim Malaysia atas kesalahan menangkap ikan di luar kawasan yang dibenarkan. FOTO Ihsan Maritim
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


TINDAKAN tekong bot pukat tunda kelas C bersama awak-awak menangkap ikan dalam gelap mengundang padah apabila ditahan di kedudukan kira-kira 10.0 batu nautika barat daya Kuala Kedah oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Kedah malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, bot yang diusahakan tekong tempatan bersama tiga awak-awak tempatan dan dua awak-awak warganegara Thailand itu ditahan pada jam 11 malam.

Menurutnya, nelayan berusia 37 hingga 63 tahun dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat sah lesen.

“Beroperasi pada waktu malam dengan tidak menyalakan lampu dipercayai menjadi taktik bot-bot tunda mengaut keuntungan dengan menunda di luar kawasan yang dibenarkan. Tindakan tidak menyalakan lampu juga boleh mengundang kemalangan di laut.

“Bot dianggarkan bernilai hampir RM1 juta bersama 500 kilogram (kg) hasil tangkapan itu kemudiannya ditahan dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau juga meminta pengusaha bot nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan.

Pihak Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan dan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 5:22 PM