DUA individu lelaki ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dipercayai penagih dadah, dalam serbuan Ops Cegah di Ranau. FOTO Ihsan AADK
Recqueal Raimi
cnews@nstp.com.my


PENAGIH dadah nekad terjun dari tingkat atas rumahnya untuk mengelakkan dicekup Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam kejadian di Kampung Kinalipudan, di Ranau, kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 42 tahun itu hanya sia-sia apabila beberapa anggota penguatkuasa sudah bersedia di bawah rumahnya untuk ‘menyambut’ suspek.

Ketua pegawai AADK Daerah Ranau, Hazrie Attin berkata, serbuan Ops Cegah 10 malam itu dijalankan dengan kekuatan lima anggota selepas menerima maklumat awam dan risikan AADK.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing, suspek disahkan positif dadah jenis syabu bersama seorang lagi yang ditahan di Kampung Paka 2.

“Tangkapan kedua adalah lelaki berusia 30 tahun. Suspek pada mulanya tidak mahu mengaku mengambil dadah, namun hasil ujian air kencing membuktikan dia positif dadah.

“Suspek kemudian mengaku bimbang isteri dan ibu mentua tahu mengenai kegiatan penagihannya. Pemeriksaan lanjut juga mendapati dia pernah ditahan AADK Kudat atas kesalahan sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hazrie berkata, kedua-dua suspek direman selama 14 hari bermula semalam di Pusat Tahanan Reman AADK Papar.

“Kedua-dua individu disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Sehubungan itu, Hazrie berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah di daerah Ranau boleh menghubungi talian 088-877 866 atau tampil ke Pejabat AADK berhampiran untuk tindakan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 9:46 AM