Salahuddin ketika melawat pasar nelayan Kampung Balok. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


PROSES pindah milik lesen sampan khas nelayan akan dipermudahkan selepas Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bercadang mengurangkan kerenah birokrasi proses terbabit.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya banyak menerima rungutan daripada nelayan mengenai kesukaran dialami untuk melakukan pindah milik lesen berkenaan.

Katanya, peraturan sebelum ini tidak membenarkan lesen itu dipindah milik namun pihaknya akan meminta Jabatan Perikanan mempertimbangkan dan membenarkan proses itu dilakukan.

“Beberapa syarat perlu dipatuhi oleh pemohon termasuk mendapatkan pengesahan daripada Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dan ketua kampung sebelum permohonan dikemukakan waris.

“Kita akan permudahkan proses itu dengan mengurangkan kerenah birokrasi bagi membolehkan aktiviti menangkap ikan menggunakan lesen itu diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan Lawatan Ramah Mesra Bersama Nelayan di Pasar Nelayan Kampung Balok, Beserah, Kuantan hari ini.

Menurutnya, langkah mempermudahkan proses itu juga sebahagian daripada matlamat kementeriannya untuk membantu golongan nelayan dan petani.

Sementara itu, Salahuddin berkata, pihaknya juga sedang melaksanakan proses pemutihan terhadap lesen bot laut dalam (C2) bagi menangani masalah pencerobohan pukat tunda.

“Langkah ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan setakat ini, sudah 400 lesen C2 dibatalkan,” katanya.

Pada majlis itu, Salahuddin juga mengumumkan peruntukan RM80,000 untuk menaiktaraf pasar nelayan Balok bagi menggalakkan pendaratan ikan di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 8:19 PM