MUHAMMAD Shafee ditemui media selepas tamat prosiding perbicaraan hari kedua ke atas Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Murni Wan Omar dan Sarah Zulkifli
am@hmetro.com.my


PASUKAN pembelaan bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dihadapi Datuk Seri Najib Razak berharap pendedahan lebih lanjut dapat dibuat menerusi dokumen dirampas ketika siasatan kes berkenaan.

Peguam kanan mewakili bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata beliau yakin pendedahan dapat dibuat pihaknya dalam pemeriksaan balas terhadap saksi kedua pendakwaan, Pengurus Bank Negara Malaysia, Azizul Adzani Abdul Ghafar, 41, esok.

“Banyak perkara tidak didedahkan saksi ini pada hari kedua perbicaraan kes hari ini,” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas tamat prosiding perbicaraan hari kedua kes penyelewengan dana membabitkan Najib, hari ini.

Dalam prosiding hari kedua kes berprofil tinggi itu, Azizul memberikan keterangan dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim di Mahkamah Tinggi.

Menurut Shafee, pihak pendakwaan perlu membuktikan anak guamnya itu bersubahat dan sebahagian konspirasi dalam dakwaan pemindahan wang haram ke dalam akaunnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penerimaan wang dalam akaun tidak bermakna pemilik akaun itu mengetahui punca dan sumber wang itu.

“Terdapat banyak transaksi dan isu timbul, adakah Najib tahu perkara sebenar terjadi?.

“Adakah dia tahu wang yang masuk ke dalam akaunnya adalah dari sumber haram?,” katanya.

Najib didakwa pada 4 Julai tahun lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 7:52 PM