Abnor Hamizam Abd Manap

PEKAN Kuala Klawang, Jelebu diyakini berubah wajah jika jajaran baharu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dibangunkan merentasi daerah ini.

Peniaga, Sharifah Rohaizah Syed Azlan Shah, 35, berkata, sekiranya projek itu dilaksanakan Pekan Kuala Klawang akan menerima impak pembangunan.

Dia yang menetap di Kuala Klawang berharap pengumuman kerajaan persekutuan baru-baru ini akan dilaksanakan sekaligus merancakkan aktiviti perniagaan, sektor pelancongan dan perkhidmatan.

“Sudah terlalu lama kami menantikan pembangunan di Kuala Klawang dan Jelebu secara amnya. Penduduk berharap dengan adanya projek pembangunan ini, kami akan menerima manfaat,” katanya.

Sharifah Rohaizah berkata, projek itu perlu dimuktamadkan termasuk pemakluman sama ada ia sekadar pembinaan laluan atau memiliki stesen perhentian.

Penduduk Kampung Dusat, Jempol, D Unini, 66 berkata, pembinaan ECRL bukan saja memberi impak pembangunan di Jelebu sebaliknya daerah bersebelahan iaitu Jempol.

Katanya, turut menerima manfaat adalah kawasan penempatan Felda dan kampung berdekatan dengan banyak peluang pekerjaan diwujudkan.

“Itu yang penduduk mahukan dan begitu lama kami nantikan pembangunan. Suatu ketika dulu kawasan di Air Hitam, Jempol pernah dicadangkan bagi pembinaan pelabuhan darat.

“Jika ada banyak peluang dalam aktitviti ekonomi sudah pasti anak muda tidak akan meninggalkan kampung halaman dan mencari rezeki di bandar,” katanya yang juga peniaga makanan.

Pengurus Hotel Sri Klawang, Datuk SM Zulkifli SM Amin berkata, pelaksanaan ECRL merentasi daerah ini membawa kebaikan ekonomi termasuk sektor pelancongan.

“Ia akan membawa kebaikan pelbagai sudut termasuk penempatan, ekonomi, perindustrian dan banyak lagi. Pengumuman oleh kerajaan ini perlu disambut baik semua pihak dan ia sememangnya dinantikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 7:48 PM