Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


ADA antara wanita pelayan pelanggan (GRO) yang ditahan di pusat hiburan Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur, malam tadi, didapati khayal dadah ketika melayan pelanggan.

Ia dikesan ketika serbuan dijalankan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Cheras, 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, dalam serbuan itu pihaknya menahan 22 GRO warga asing berusia antara 23 hingga 34 tahun yang bekerja di premis berkenaan.

“Sepasukan pegawai dan anggota D7 serta BSJND Cheras menyerbu pusat hiburan karaoke di lokasi. Polis menjalankan pemeriksaan dan ujian saringan air kencing terhadap pekerja serta pelanggan di situ.

“Hasilnya, 18 wanita China, tiga wanita Vietnam dan seorang wanita Korea Selatan ditahan kerana dipercayai bekerja sebagai GRO tanpa permit kerja serta dokumen perjalanan sah,” katanya.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati tiga wanita China dan seorang wanita Vietnam positif ketamin.

“Tiga pelanggan lelaki berusia 42 hingga 51 tahun turut ditahan kerana positif ketamin. Seorang lelaki penjaga premis yang menggaji warga asing tanpa permit sah juga ditahan,” katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke lokap Balai Polis Cheras dan pihaknya mendapat kebenaran reman terhadap penjaga premis serta tiga pelanggan selama tiga hari bermula hari ini.

“Manakala, reman terhadap 22 wanita warga asing dibenarkan hingga 28 April. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 7:47 PM