Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bakal mengusulkan cadangan kepada kerajaan untuk membina pengkalan udara di tanah milik mereka di Bukit Jelutong, Selangor bagi menggantikan Unit Udara JPBM Subang tahun ini.

Pengarah Bahagian Udara JBPM Penolong Kanan Pesuruhjaya Nazili Mahmud berkata, pembinaan pengkalan udara baru itu dapat menjimatkan kos berikutan penempatan Unit Udara JBPM Subang sedia ada disewa daripada syarikat penyelenggaraan pesawat sejak awal penubuhannya, 20 tahun lalu.

“Perkara ini masih dalam proses kajian dan kita akan serahkan cadangan ini dalam masa terdekat, tahun ini.

“Kita ada tanah di Bukit Jelutong diperolehi sejak 2006 yang sesuai untuk dibangunkan.

“Kita lihat keperluan untuk pembinaan pengkalan udara di tanah milik sendiri ini sangat diperlukan kerana mampu meningkatkan kecekapan dari segi pengoperasian. Selain itu, penjagaan aset kerajaan akan lebih tersusun dan cekap.

“Tanah terbabit berada berdekatan landasan udara Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dan sangat sesuai untuk dijadikan hangar,” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan rasmi di Unit Udara JBPM Subang hari ini.


Nazili (dua dari kiri) beramah mesra bersama pegawai dalam lawatan kerja ke Unit Udara JBPM Subang. FOTO Mahzir Mat Isa

Nazili berkata, sehingga kini JBPM memiliki tiga pengkalan udara iaitu Subang, Selangor; Miri, Sarawak dan Bertam, Pulau Pinang.

Menurutnya, dua daripada pengkalan udara terbabit adalah disewa daripada syarikat penyelenggaraan pesawat.

“Hanya Pengkalan Udara Bertam saja yang dibina di tanah sendiri dan sudah pasti memberikan penjimatan kos.

“Sepanjang tahun lalu, Unit Udara JBPM melaksanakan 390 operasi membabitkan pemadaman kebakaran, bantuan bencana alam, penerbangan ihsan pesakit dan sebagainya.

“Jumlah itu menunjukkan peningkatan 21 kes berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 6:41 PM