Hazsyah Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


WANITA warga emas pengsan apabila dipukul sebelum penyerang melarikan beg miliknya dalam kejadian samun di Taman Hibiscus, Batu Satu Setengah, Sandakan, 11.30 pagi, Jumaat lalu.

Mangsa berusia 70 tahun lebam di leher dan dahi akibat dipukul menggunakan objek keras.

Difahamkan, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM300 selepas beg berisi dokumen dan kad ATM miliknya dilarikan penjenayah terbabit.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada anak lelaki mangsa berusia 33 tahun, semalam.

“Anaknya memberitahu, selepas ibunya tersedar dia terbaring di luar rumah, apabila memeriksa beg dan telefon mangsa, ia didapati hilang.

“Anak mangsa kemudian memeriksa sekeliling rumah mereka lalu menemui kesan penjenayah masuk melalui pagar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Azhar berkata, mangsa dibawa ke Hospital Duchess of Kent Sandakan, untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Usaha memburu individu terbabit dalam kejadian itu giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana merompak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 6:25 PM