Keadaan rumah yang musnah dalam kebakaran hari ini. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


KERANA cemburu, penganggur sanggup membakar rumah teman wanitanya yang juga isteri orang di Taman Desa Aman, Sungai Lalang, Sungai Petani hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian 5 pagi itu disedari jiran mangsa selepas terdengar bunyi cermin pecah.

“Suspek berusia 24 tahun dan juga wanita berkenaan yang kedua-duanya penagih dadah dikatakan sudah menjalin hubungan sulit sejak setahun lalu.

“Menurut suami wanita itu, dia membawa isterinya serta empat anak mereka tinggal di kampung sejak beberapa bulan lalu bagi menghalang isterinya berjumpa suspek dan ketika kejadian rumah itu tidak berpenghuni.

“Oleh kerana tidak berpuas hati dengan tindakan suami wanita itu, suspek sering mengugut keluarga itu termasuk mahu membunuh mereka,” katanya.

Adzli berkata, siasatan awal forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menemui besi pengumpil di laman rumah dan penutup botol berbau petrol.

Katanya, siasatan lanjut akan diteruskan forensik bomba.

Beliau berkata, kejadian itu turut menyebabkan rumah mangsa musnah hampir keseluruhan dan turut mengakibatkan kerosakan 40 peratus pada bumbung rumah jiran mereka.

Katanya, suspek sudah ditahan sejurus selepas kejadian di sekitar taman berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan 498 Kanun Keseksaan.

“Suspek juga ada rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 380 Kanun Keseksaan, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya sedang mengesan wanita terbabit yang dikatakan menghilangkan diri sejak pagi tadi untuk membantu siasatan.

Sementara itu, jiran mangsa yang mahu dikenali sebagai Anama, 59, berkata, ketika kejadian dia terdengar bunyi cermin pecah seperti dibaling sesuatu.

“Apabila menjenguk ke rumah itu, saya nampak api sudah marak membakar ruang sebelah kanan rumah mereka,” katanya.

Anama berkata, sebelum kejadian suspek sering kelihatan keluar masuk rumah itu bersama wanita berkenaan atau bersendirian ketika ahli keluarga itu tiada di rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 6:25 PM