Shifuddin (kiri) bersama penduduk di samping replika tentera Jerman dan papan tanda amaran. FOTO Togi Marzuki
Togi Marzuki
cnews@nstp.com.my

PENDUDUK Kampung Parit Jerman, Telok Kerang, Pontian mengambil pendekatan kreatif mewujudkan replika tentera Jerman memegang sekeping papan tanda amaran keselamatan jalan raya di pintu masuk kampung itu sebagai langkah mengurangkan kemalangan.

Lebih menarik, replika dan papan tanda yang dipasang sejak Khamis lalu dibina menggunakan bahan kitar semula hasil gotong-royong sebahagian daripada 500 penduduk kampung itu.

Penduduk Nazarudin Shamsudin, 50, berkata, mereka gembira kerana pembinaan dan pemasangan secara bergotong-royong itu menarik perhatian ramai terutama pengguna jalan raya.

Katanya, ia dibina bagi mengurangkan kemalangan jalan raya yang sebelum ini sering berlaku di kampung itu.

“Isteri saya mengusahakan perniagaan pakaian pengantin, secara kebetulan ada patung (model) yang tidak digunakan lagi dan kami menjadikannya replika tentera Jerman.

“Pakaian seragam yang digunakan adalah pakaian terpakai yang dicorengkan menggunakan bahan pewarna dan kami mengambil tujuh hari menyiapkannya termasuk papan tanda amaran.

“Walaupun kedudukan kampung ini agak jauh di pedalaman, ia tetap sibuk kerana dijadikan laluan pelajar berulang alik ke sekolah dan jalan pintas ke Tanjung Piai serta Pekan Kukup,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Parit Jerman, Shifuddin Said berkata, dia teruja dengan usaha penduduk kampung yang melambangkan sikap keharmonian dalam usaha membina papan tanda dan replika unik sehingga mendapat pujian ramai.

“Nama kampung ini diambil dari sejarah lama ketika dulunya orang Jerman membuka ladang pertanian dan penduduk kampung sebagai pekerjanya.

“Walaupun ia sejarah silam, kesan peninggalannya seperti batu bertangga di tebing Sungai Belokok masih wujud hingga kini.

“Lebih popular apabila sekumpulan wartawan akhbar datang menyaksikan siaran langsung perlawanan bola sepak antara Jerman menentang Argentina menerusi siaran langsung pada 2014,” katanya.

Menurutnya, Jerman menang 1-0 dan pada masa sama Kampung Jerman dikenali ramai selepas gambar penduduk menyaksikan perlawanan antara dua negara itu terpapar di akhbar.

Katanya, dengan adanya papan tanda itu diharapkan pengguna lebih berhati-hati kerana jalan berkenaan adalah laluan utama pelajar sekolah.

“Ketika ini, dalam seminggu mesti ada kemalangan berlaku membabitkan pelbagai kenderaan termasuk pelajar sekolah yang menunggang basikal.

“Walaupun belum ada kemalangan maut, kami berharap pengguna berwaspada demi keselamatan semua pihak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 6:10 PM