MUHAMMAD Arryan yang menghidap LCH dan bengkak hati bersama Mohd Azmee Munir (kanan) dan isteri di rumah mereka di Taman RPA, Arau. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


“PERNAH sehari kami sekeluarga menjamah sekeping roti canai dan bertahan lapar sehingga ke malam,” luah Mohd Azmee Munir, 34, yang kesempitan wang selepas anak bongsunya, Muhammad Arryan Amsyar disahkan mengidap penyakit Langerhans Cell Histiocytosis (LCH) dan bengkak hati sejak dilahirkan.

Menurut Mohd Azmee, keadaan itu menyebabkan tubuh anak bongsunya yang berusia 17 bulan itu mudah membengkak sekiranya terjatuh atau dipegang secara kasar.

“Pada awalnya saya bersama isteri, Siti Nur Ain Hassan tidak mengetahui anak bongsu kami menghidap LCH sejak lahir.

“Kami hanya tahu Muhammad Arryan menghidap penyakit ini selepas terjatuh ketika bermain di ruang tamu pada hujung tahun lalu dan kepalanya membenjol besar walaupun selepas sebulan kejadian berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Rancangan Perumahan Awam (RPA), Arau.

Mohd Azmee berkata, selepas dirawat dan disahkan menghidap LCH di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), doktor memintanya ke Hospital Pulau Pinang bagi menjalani rawatan khusus setiap minggu.

“Sejujurnya saya tidak mampu kerana selain isteri tidak bekerja, saya perlu membeli susu formula untuk Muhammad Arryan dan satu tin hanya mampu bertahan selama dua hari sahaja.

“Kami memerlukan sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan khusus untuk penjagaan Muhammad Arryan termasuk lampin pakai buang khas,” katanya.

Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa mengikat perut demi menanggung kos rawatan dan perjalanan dari rumah mereka ke Hospital Pulau Pinang setiap minggu.

Mohd Azmee berkata, pendapatan bersihnya berjumlah RM1,100 sebulan sebagai pemandu di sebuah universiti awam tidak mencukupi termasuk menampung keperluan dua lagi anak yang bersekolah di tahun lima dan tiga.

“Disebabkan kekurangan wang, kami terpaksa mencatu perbelanjaan malah isteri turut membantu dengan menjual kek secara sambilan di atas talian.

“Sebahagian pendapatan kerja saya dikhususkan untuk rawatan Muhammad Arryan, perbelanjaan persekolahan, sewa rumah dan kos rawatan di Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, lebih memburukkan keadaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menolak permohonan bantuan anaknya sebelum ini atas faktor dirinya mempunyai pekerjaan tetap manakala Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Perlis (MAIPs) pernah membantunya sekali sahaja tahun lalu.

Orang ramai yang mahu membantu Mohd Azmee boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun 7615685655 (CIMB) milik Siti Nur Ain atau menghubunginya di talian 017-982 4069 untuk pertanyaan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 6:00 PM