Mayat lelaki ditemui di Lebuh Leith hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Zuhainy Zulkiffli
am@metro.com.my


ORANG awam yang melalui Lebuh Leith, Georgetown dikejutkan dengan penemuan mayat lelaki di bawah sebuah hotel hari ini.

Warga emas berusia 62 tahun itu disahkan maut di lokasi selepas dipercayai terjun dari aras sembilan hotel itu 1.15 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata, siasatan awal mendapati mangsa mendaftar masuk ke hotel itu 12.30 tengah hari.

Namun, mangsa yang berasal dari Popus Lane, Georgetown itu disyaki terjun dari hotel dan dijumpai 45 minit kemudian.

“Bilik mangsa berada dalam keadaan kemas dengan dua tingkap terbuka dan mangsa didapati memanjat tingkap menggunakan kerusi.

“Barangan mangsa seperti selipar, payung dan cermin mata juga masih berada dalam bilik itu,” katanya hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 5:53 PM