AMIRUL Daniel Zulkiflee, 20, maut selepas merempuh kereta Proton Saga di persimpangan Taman Pengkalan Balak di Jalan Paya Mengkuang - Pengkalan Balak, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar
am@hmetro.com.my


“TIGA hari sebelum arwah meninggal dunia, saya lihat wajahnya putih bersih dan saya bertanya kepadanya sama ada dia memakai krim pencerah kulit tapi arwah menafikannya.

“Arwah juga kurang bercakap seperti selalu dan rupa-rupanya itulah tanda dia hendak pergi meninggalkan saya untuk selama-lamanya,” kata Normah Hamzah, 49.

Ibu kepada mangsa kemalangan jalan raya, Allahyarham Mohamad Amirul Daniel Zulkiflee, 20, berkata, dia tidak menyangka wajah sedemikian adalah wajah yang sama anak bongsunya yang ditatapinya sejurus sebelum arwah dikafankan.

Beliau berkata, sebelum keluar dari kediaman mereka di Taman Seri Gamelan, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah Melaka kira-kira jam 6.20 pagi semalam, untuk ke tempat kerja di dewan makan berek tentera bujang di Kem Terendak, arwah sempat menjamah sarapan.

“Arwah kerja syif jam 7 pagi manakala saya yang bertugas sebagai penyelia di tempat yang sama masuk syif 9 pagi, jadi arwah pergi kerja dahulu tetapi kira-kira jam 8 pagi, saya terkejut apabila kawan arwah datang memberitahu arwah terbabit dalam kemalangan,” katanya, ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.

Arwah Mohamad Amirul, anak bongsu daripada dua adik beradik meninggal dunia selepas motosikal ditungganginya melanggar kereta dipandu seorang wanita berusia 29 tahun di persimpangan tiga, Taman Pengkalan Balak, Jalan Paya Mengkuang-Pengkalan Balak, Masjid Tanah dekat sini kira-kira jam 6.55 pagi, semalam.

Normah berkata, ketika tiba di lokasi kejadian pada jam 8.20 pagi semalam, arwah disahkan sudah meninggal dunia oleh Pembantu Perubatan Klinik Masjid Tanah dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Katil, iaitu di kediaman besannya jam 10 malam tadi.

Katanya, arwah seorang anak yang baik dan tidak pernah menimbulkan masalah manakala bapa kandungnya tinggal di Johor selepas berpisah dengan Normah dan abang arwah, Mohd Amirul Syafiq, 25, yang bekerja sebagai pelaut dijangka pulang dari Eropah minggu hadapan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam kejadian itu, mangsa yang menunggang Yamaha 125Z dipercayai melanggar bahagian hadapan kanan kereta Proton Saga dipandu seorang wanita yang dipercayai keluar dari simpang tiga Taman Pengkalan Balak.

Katanya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di dada dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 5:48 PM