Gambar tular wanita membuang najis yang tular di media sosial. FOTO Tular
Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my


TINDAKAN pelancong dipercayai warga China membuang najis di tepi pantai di Batu 5, Port Dickson semalam dikesali.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Zamri Mohd Esa berkata, pihaknya kini sedang menyiasat perkara itu selepas tular di laman sosial.

Katanya, beliau menyifatkan wanita itu mungkin terdesak untuk membuang najis berikutan sakit perut.

“Sehubungan kejadian ini, MPPD berusaha membina tandas di pantai itu.

“Kami masih menunggu peruntukan RM8 juta bagi membina tandas dan kolam mandi pengunjung, yang akan diswastakan mengikut perancangan kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu menerusi Facebook, netizen dilihat mengecam tindakan wanita berkenaan yang membuang najis ketika pengunjung lain mandi.

Kebanyakan netizen menyifatkan perbuatan itu tiada adab dan tatasusila.

Menerusi foto yang dimuat naik pemilik dikenali Sokeryob, ia menampakkan wanita itu mencangkung dan membuang najis.

Paparan bertulis ‘Tahukah komer? Kah Kah Kah Suwey terus gambar selfie. Lokasi: Batu 5, Port Dickson’ dikongsi oleh 1.5 juta pengguna Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 5:21 PM