MARITIM Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili menahan dua kapal tangki di Tanjung Penyusop, sekitar perairan Pengerang, Kota Tinggi, pagi tadi. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan dua kapal tangki di Tanjung Penyusop, sekitar perairan Pengerang, di sini, pagi tadi.

Pemangku Timbalan Pengarah Operasinya, Leftenan Komander Maritim Muhammad Padzly Pasrial berkata, penahanan kedua-dua kapal itu dilakukan oleh bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan menerusi Ops Jaksa.

“Dalam serbuan pertama pada jam 10.15 pagi, Maritim Malaysia menahan kapal tangki yang berdaftar di Singapura di kedudukan kira-kira 4.5 batu nautika Timur Tanjung Penyusop, di sini.

“Kapal tangki itu dikendalikan 12 kru termasuk nakhoda (Master) dan mereka semua berusia antara 23 hingga 50 tahun. Daripada jumlah itu, enam adalah warga Indonesia, tiga Bangladesh dan tiga Myanmar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Padzly berkata, dalam serbuan kedua, pihaknya menahan sebuah kapal tangki berdaftar di Ulaan Baatar, Mongolia, jam 11.20 pagi di kedudukan kira-kira 3.1 batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop, di sini.

Katanya, kapal itu dikendalikan 14 kru termasuk nakhoda dan kesemua tangkapan adalah warganegara Indonesia berusia antara 23 hingga 49 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal tangki berkenaan gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran bersauh dari Pengarah Laut Malaysia, selain dua kru dari setiap kapal sudah dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 Seksyen 491B (1) (l) iaitu bersauh tanpa kebenaran.

“Jika didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Muhammad Padzly berkata, pengusaha kapal dinasihatkan memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia dan Lembaga Pelabuhan Johor bagi mengelak dikenakan tindakan tegas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 5:08 PM