GAMBAR hiasan
Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my


TIGA lelaki dipercayai pengedar ditahan polis bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM10,160 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Saga, Kulai, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow berkata, bertindak atas maklumat awam pihaknya menjalankan intipan dan menyerbu kediaman itu pada 10.30 malam.

“Serbuan dilakukan anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

“Ketiga-tiga lelaki berusia antara 27 hingga 45 tahun ditahan untuk membantu siasatan, pemeriksaan menemui serbuk dan ketulan disyaki heroin seberat 399.11 gram (g), bahan hablur disyaki syabu seberat 13.59 g, tumbuhan kering dipercayai ganja seberat 0.63 g.

“Turut ditemui alat penimbang digital dan sebotol balang kaca diubahsuai untuk menghidap syabu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, suspek terbabit ditahan dan dibawa ke IPD Kulai untuk tindakan lanjut.

“Ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah dan memiliki rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A, Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 4:51 PM