Muhammad Zaini dijatuhi hukuman penjara lima tahun. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


LELAKI dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, kerana memiliki parang ketika ditahan di tepi sebuah rumah pada Julai 2017.

Keputusan itu dibuat Hakim Wan Azimah Yaacob selepas tertuduh, Muhammad Zaini Jamaludin, 39, dari Kuala Berang, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki senjata berjadual tanpa sebarang kebenaran sah di sisi undang-undang iaitu sebilah parang bersama sarung yang diselit di pinggang sebelah kiri.

Tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di tepi sebuah rumah di Kampung Tajin, Kuala Berang, Hulu Terengganu, 3.30 petang pada 9 Julai 2017.

Selepas pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bermula dari tarikh tangkapan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, polis melakukan serbuan di kawasan rumah berkenaan yang menjadi tempat pengedaran dadah dan polis turut menahan tertuduh bersama dadah.

Hasil pemeriksaan lanjut terhadap tubuh badan tertuduh turut menemui sebilah parang yang tersenarai sebagai senjata berbahaya di bawah Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 3:49 PM