GAMBAR hiasan
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


POLIS menahan seorang lelaki dipercayai aktif melakukan kegiatan curi motosikal di sekitar daerah ini dalam Ops Lejang di Pusat Perniagaan Manjung Point 1, Seri Manjung, Khamis lalu.

Lelaki berusia 20-an itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung jam 1 pagi hasil risikan dan maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, polis mengekori suspek yang menunggang motosikal Honda EX-5 di lokasi berkenaan sebelum bertindak menahannya.

“Suspek dipercayai aktif melakukan jenayah curi motosikal di kawasan ini dan hasil semakan mendapati motosikal dinaiki lelaki terbabit dilaporkan hilang di Manjung.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek adalah orang dikehendaki membabitkan kes dadah dan mempunyai tiga kesalahan lampau termasuk kes curi motosikal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya dua kes kecurian motosikal dilaporkan di daerah ini susulan penahanan suspek.

“Kami percaya suspek terbabit dalam banyak lagi kes curi motosikal serta jenayah lain dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Siasatan masih diteruskan untuk mengumpul maklumat risikan bagi mengesan dan melumpuhkan sindiket curi motosikal di daerah ini,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Hanif berkata, statistik jenayah kecurian motosikal di Manjung menurun 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, biar pun jenayah itu menunjukkan penurunan tetapi IPD Manjung komited meneruskan operasi pencegahan kes kecurian motosikal bagi membendung sepenuhnya salah laku jenayah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 3:18 PM