RAHIMI ketika menjalani sesi fisioterapi di Hospital Burwood, New Zealand, baru-baru ini.
Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Saya mohon doa orang ramai supaya segera sembuh walaupun doktor memberitahu berkemungkinan saya perlu membuat rawatan susulan dalam tempoh enam tahun bagi membolehkan kaki kanan berfungsi dengan sempurna,” kata Rahimi Ahmad.

Kaki kanan jurutera robotik berusia 39 tahun itu terjejas selepas terkena tembakan dalam tragedi tembakan di dua masjid di Christchurch yang meragut 50 nyawa dan kini masih dirawat di Hospital Burwood, New Zealand.

Rahimi antara tiga rakyat Malaysia yang cedera dalam tragedi tembakan itu pada 15 Mac lalu.

Katanya, kaki kirinya menunjukkan perkembangan positif namun kaki kanan masih lemah selepas pembedahan membuang peluru dan serpihan yang terkena urat saraf.

“Saya perlu menjalani fisioterapi dua kali sehari setiap hari selama 30 minit satu sesi.

“Setakat ini kaki kanan saya ada pergerakan di ibu jari. Imbasan ultrasound sudah dilakukan dan Alhamdulillah tiada darah tersumbat di aliran urat.

“Kaki kanan menjadi lemah berikutan ketika pembedahan membuang peluru dan serpihan, ada antara serpihan yang terkena urat saraf kaki kanan,” katanya.

Katanya, selain itu ada juga sesi latihan untuk berdikari seperti memakai pakaian dan mandi sendiri setiap Isnin, Rabu dan Jumaat.

“Doktor meramalkan saya akan keluar wad dalam tempoh tiga hingga enam bulan lagi, tetapi selepas itu masih kena buat rawatan susulan sehingga enam tahun.

“Cuma sakit kaki kanan masih ada. Saya perlu makan ubat tahan sakit, baru boleh tidur,” katanya.

Katanya, bagaimanapun dia masih bersyukur kerana masih bernafas walaupun kurang sempurna seperti sebelum ini.

“Saya perlu bersyukur kerana masih diberi peluang hidup. Saya mahu manfaatkan kehidupan ini sebaik-baiknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 6:30 AM