Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


TIGA lelaki parah selepas Perodua Myvi dinaiki terbabit kemalangan dengan bas milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berdekatan Kampung Kisap, Jalan Ayer Hangat, Langkawi hari ini.

Dua penumpang bas yang juga kakitangan JBPM turut cedera.

Dalam kejadian 11.40 pagi hari ini, bas JBPM itu dalam perjalanan membawa 30 peserta kursus pengurusan dari Ibu Pejabat JBPM ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi.

Bagaimanapun, setibanya di kawasan itu kedua-dua kenderaan terbabit kemalangan.

Ketua Zon 4 Langkawi, Penguasa Bomba Mohd Fadzlullah Mohd Nor berkata, pihaknya menerima panggilan 11.47 pagi dan sepasukan anggota BBP Langkawi tiba di lokasi 11.54 pagi.

Beliau berkata, setibanya di lokasi, lima mangsa mengalami kecederaan termasuk tiga daripadanya yang menaiki Perodua Myvi.

“Pemandu kereta tersepit di tempat duduk dan berjaya dikeluarkan anggotanya menggunakan peralatan khas ‘rescue tools’.

“Operasi turut dibantu anggota Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS),” katanya.

Mohd Fadzlullah berkata, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Langkawi.

Katanya, operasi menyelamat tamat 1.12 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 5:54 PM