SI CILIK ini tekun mempelajari ukulele pada bengkel di pekarangan DBKK. FOTO/ Norasikin Daineh
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com


DARI bengkel ke pentas orkestra.

Begitu hasrat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang menjadikan Bengkel Bermain Ukulele sebagai program perintis sebelum penubuhan kumpulan simfoni orkestra DBKK.

Ketua Pengarah DBKK Datuk Ir Amrullah Kamal berkata, selepas kejayaan DBKK pada program Busker di Pasar Malam Api-Api dua bulan lalu, DBKK dalam perancangan untuk menubuhkan kumpulan simfoni orkestra sendiri melalui bengkel ukulele itu.

“Kumpulan simfoni orkestra terlalu besar justeru, untuk menjadikan impian ini kenyataan, saya jemput Profesor Hanafie Mohd Iman dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai permulaan.

“Beliau menasihatkan saya supaya mencuba dulu bermain ukulele. Daripada bengkel, kita akan dapatkan pemain bukan saja terdiri daripada kakitangan DBKK tetapi juga orang awam untuk terbabit dalam simfoni orkestra itu nanti,” katanya ketika ditemui pada bengkel berkenaan di pekarangan DBKK, hari ini.


HANAFIE (kiri hadapan) mengendalikan bengkel ukulele sambil turut disertai Amrullah (tiga dari kanan hadapan). FOTO/ Norasikin Daineh

Amrullah berkata, melalui bengkel itu juga DBKK dapat memperkenalkan program penyatuan keluarga serta menambah baik program di sekitar Jalan Gaya terutama pada hari Ahad.

“Kita mahu wujudkan suasana penyatuan keluarga melalui bengkel yang diadakan setiap Ahad.

“Pada masa sama, ini akan menambah baik program di Jalan Gaya supaya lebih meriah seterusnya menjadi tarikan pelancong.

“Kita juga akan kembangkan dengan penggunaan alat instrumen lain, sekali gus menarik lebih ramai kehadiran orang ramai terutama mereka yang berbakat dalam bidang muzik,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 30 peserta terdiri daripada kakitangan DBKK dan orang awam menghadiri bengkel ukulele yang dikendalikan Hanafie yang juga pensyarah Fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan UMS.

Bengkel itu diadakan pada setiap Ahad di pekarangan DBKK bermula jam 8.30 pagi hingga jam 11 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 12:20 PM