MOHAMAD bersama isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin selepas selesai mengundi pada PRK DUN Rantau di SJKC Chung Hua, Rantau. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid
am@hmetro.com.my


“SAYA kurang pasti sama ada (tunjuk kertas undi) satu kesalahan atau tidak. Saya perlu meneliti betul-betul peraturan,” kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun.

Beliau memberi reaksi itu bagi mengulas tindakan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan yang menunjukkan kertas undi selepas mengundi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua, Rantau pagi hari ini.

Sesudah memangkah undi, Mohamad kemudian menunjukkan kertas undi secara spontan ketika jurugambar hendak merakam gambar beliau.

Tindakannya itu menimbulkan persoalan kemungkinan beliau sudah melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Mengulas lanjut, Azhar Azizan berkata, apa yang beliau fahami, peraturan mengikut Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 undi itu rahsia dan kerahsiaan undi seseorang itu tidak boleh didedahkan orang lain.

“Tapi kalau dia sendiri nak pecahkan (rahsia undi), itu saya kurang pasti sama ada itu dihalang oleh undang-undang atau tak.

“Saya kurang pasti sama ada (tindakan) satu kesalahan atau tak. Saya kena tengok betul-betul peraturan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 10:50 PM