Dr Wan Azizah (duduk tengah) dalam program Santuni Rakyat Peringkat Negeri Pahang hari ini. FOTO Bernama
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


KERAJAAN negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta menguatkuasakan reka bentuk sejagat dalam setiap keperluan merancang serta pelan bangunan untuk memudahkan golongan orang kelainan upaya (OKU).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada keperluan aksesibiliti seperti kemudahan dan ruang awam bagi memudahkan pergerakan OKU menjalankan urusan harian.

“Melalui pelan atau reka bentuk sejagat ini, sudah pasti memberi faedah besar kepada golongan OKU, warga emas dan juga kanak-kanak.

“Sehubungan dengan itu, saya menyeru semua kerajaan negeri dan PBT di seluruh negara memberi perhatian terhadap aspek pembinaan ini dalam memastikan setiap bangunan yang akan dibina lebih mesra OKU pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Santuni Rakyat Peringkat Negeri Pahang di Kuantan hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Wan Azizah berkata, Kerajaan Persekutuan turut menyediakan peruntukan besar dalam bentuk bantuan kewangan secara bulanan kepada OKU sebagai bukti keprihatinan terhadap golongan itu.

Katanya, sehingga Januari lalu, RM60.6 juta sudah diagihkan kepada 175,156 OKU melalui skim bantuan Elaun Pekerja Cacat (EPC); Bantuan Pesakit Terlantar (BPT) dan Bantuan OKU Tidak Bekerja (BTB) di seluruh negara.

“Di Pahang saja, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM3.7 juta untuk diagihkan kepada 11,002 OKU yang layak menerima skim bantuan sama.

“Selain itu, melalui Belanjawan 2019, kerajaan menyediakan RM129.8 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memperkasakan perkhidmatan dan program khusus untuk OKU.

“Peruntukan ini merangkumi perkhidmatan di tujuh institusi kebajikan antaranya Taman Sinar Harapan (TSH); Bengkel Daya Kalang (BDK) dan Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) serta Taska OKU di seluruh negeri,” katanya.

Beliau turut memuji Setiausaha Kerajaan negeri Pahang kerana menyediakan 0.51 peratus peluang pekerjaan di sektor awam kepada golongan OKU dan berharap sasaran 1 peratus ditetapkan sebelum ini dapat dicapai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 10:35 PM