ANTARA mesin simulator judi yang dirampas. FOTO ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


KEGIATAN sindiket perjudian yang baru beroperasi dua hari terbongkar dalam serbuan di premis tingkat 1 Medan Niaga Tasik Damai, Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, serbuan dilakukan pegawai dan anggota Balai Polis Sungai Besi 11.30 malam.

“Ketika serbuan, ada tiga lelaki warga Bangladesh di dalam premis membabitkan seorang penjaga dan dua pemain yang leka berjudi. Semua suspek terbabit tidak memiliki dokumen.

“Pemeriksaan lanjut menemui mesin judi simulator dan beberapa peralatan dipercayai digunakan bagi kegiatan perjudian. Polis merampas sebuah buku dipercayai digunakan untuk mencatat nilai pertaruhan, tiga kad tambah nilai mesin simulator, tiga mesin simulator dan wang tunai RM400,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, aktiviti perjudian di premis itu dipercayai baru beroperasi dua hari sebelum diserbu polis.

“Suspek yang ditahan dibawa ke lokap Balai Polis Cheras dan permohonan reman terhadap mereka dibuat hari ini.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 3:53 PM