Kereta suspek dirampas. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


LELAKI ditahan polis kerana melanggar anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di Batu 6, Jalan Seremban-Port Dickson, di Port Dickson, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek yang berusia 26 tahun turut menghalang tugas penjawat awam.

Dalam kejadian 10.45 pagi, pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) polis menjalankan rondaan cegah jenayah dan mendapati Perodua Viva melanggar lampu isyarat merah di persimpangan susur Lukut-Seremban.

Katanya, anggota mengarahkan kereta itu diberhentikan, namun pemandunya memecut laju.

“Anggota mengekori kenderaan hingga ke Pekan Lukut dan menghebahkan melalui Bilik Gerakan IPD Port Dickson sebelum dua anggota URB Balai Polis Lukut memberikan bantuan,” katanya.

Aidi Sham berkata, sebaik menghampiri restoran di Pekan Lukut, kereta itu memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal yang ditunggangi seorang anggota.

“Akibatnya, anggota kami terjatuh dan cedera di tangan serta badan,” katanya memberitahu mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Port Dickson (HPD), di Port Dickson, sebagai pesakit luar.

Menurut Aidi Sham, polis mengejar kereta itu sehingga Bandar Baru Lukut sebelum suspek berjaya ditahan di Taman Bandar Baru Lukut.

“Ketika tangkapan dilakukan, suspek bertindak agresif hingga berlaku pergelutan. Ujian air kencing ke atasnya mendapati dia positif dadah dan memiliki dua rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.

Beliau berkata, lelaki itu direman lima hari sehingga 17 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 2:03 PM