MENTERI Besar Johor, Datuk Osman (tengah) pada sidang media di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Taman Kempas. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Ibrahim Isa
Ibrahim@hmetro.com.my


“SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar terima surat (peletakan jawatan) saya, namun tidak membukanya. Sebaliknya hanya menganggap sebagai cenderahati,” kata Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.

Osman berkata demikian ketika diminta mengulas hasil menghadap Sultan Johor di Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru, selama hampir sejam, hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini tiada sebarang keputusan dibuat berkaitan statusnya sebagai Menteri Besar sebaliknya akan menghadap Sultan Johor untuk kali kedua di Istana Pasir Pelangi, petang ini.

“Tuanku ambil (surat) tetapi tidak melihatnya. Kalau perkara ini diterima, Tuanku sendiri bertitah kepada saya, baginda akan meletak beberapa syarat tertentu kepada bakal Menteri Besar baru.

“Dan kalau syarat itu diterima mungkin ada Menteri Besar dan kerajaan baru,” katanya pada sidang media di Pejabat BERSATU Johor di sini, hari ini.

Menurutnya, selain itu baginda bertitah mahu senarai exco Johor dirombak sekiranya baginda menerima surat peletakan jawatan itu.

Katanya, perkara ini berlaku disebabkan usahanya yang agresif membantu rakyat dan menyelesaikan pelbagai masalah ditinggalkan kerajaan lama.

“Sejak menjadi Menteri Besar, Mei lalu, saya lakukan pelbagai usaha membantu rakyat termasuk membentangkan bajet.

“Kerajaan Johor juga menyelesaikan masalah lama ditinggalkan kerajaan terdahulu seperti memberikan hak tanah kepada lebih 2,000 generasi kedua FELDA.

“Pada masa sama, saya berjaya menyelesaikan hutang kerajaan Negeri kepada kerajaan pusat sebanyak RM340 juta yang tertangguh sejak sekian lama,” katanya.

Menurutnya, selain itu pelbagai usaha dilakukan termasuk menyelesaikan masalah lain seperti pencemaran sungai dan mempromosikan Johor ke luar negara.

Katanya, mungkin keadaan itu menyebabkan pihak di sebelah sana tersentuh dan menyerangnya di media sosial.

“Mereka lakukan apa sahaja untuk membuat rakyat tidak menyenangi saya.

“Ini perkara biasa dalam politik,” katanya.

Berita berkaitan

MB Johor menghadap Sultan Johor

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 12:57 PM