DUA remaja lelaki yang mencuri wang tabung di Masjid Kariah Batu 17, Chembong, kelmarin berjaya diberkas polis di Lukut, Port Dickson. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


DUA remaja lelaki yang mencuri wang tabung di Masjid Kariah Batu 17, Chembong, di Rembau, kelmarin berjaya diberkas polis di Lukut, Port Dickson, semalam.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, kedua-dua mereka berusia 13 tahun ditahan di Wisma Galilee, Jalan Seremban-Port Dickson, 2 petang.

Katanya, soal siasat ke atas suspek, mereka mengaku mencuri wang dalam tabung itu dengan meraih RM160.

“Semua wang terbabit sudah habis digunakan termasuk menonton wayang,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, dua remaja itu yang berasal dari Taman Hastana Harmoni, Lukut dan Taman Pertama Chembong, di sini, ditahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Katanya, pihaknya merampas dua seluar, dua kemeja T dan sebuah beg sandang bagi tujuan siasatan.

Harian Metro semalam melaporkan dua remaja diburu polis apabila mencuri RM300 dalam tabung Masjid Kariah Batu 17, Chembong, kelmarin.

Anuar Bakri Abdul Salam memberitahu kejadian 11.30 pagi disedari kariah wanita berusia 60 tahun ketika mahu membersihkan bahagian dalam masjid.

Katanya, warga emas itu mendapati tabung yang diletakkan di ruang solat wanita dipecahkan dan wang sumbangan orang ramai dicuri.

Berita berkaitan

'Toyol' masjid diburu

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 11:56 AM