Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my


PESARA guru terpaksa menanggung kerugian RM59,900 selepas diperdaya lelaki yang kononnya bergelar ‘Datuk’ dalam urusan jual beli tanah lot di kawasan Bukit Hijau, Kuala Selangor.

Mangsa wanita berusia 57 tahun dari Jerantut itu pada mulanya berminat untuk membeli tanah lot seluas 454.7 meter persegi dengan harga RM60,000 selepas melayari laman jual beli terkemuka di Internet pada Mac 2014.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa kemudian menghubungi nombor telefon tertera di iklan dan bercakap dengan seorang wanita untuk urusan pembelian lot tanah itu.

“Suspek wanita itu kemudian memberikan nombor telefon lain iaitu milik pengurus syarikat yang menjual lot tanah berkenaan kononnya bergelar ‘Datuk’.

“Selepas perbincangan, mangsa melihat sendiri lot tanah berkenaan dan berjumpa dengan seorang lagi suspek dikatakan anak kepada ‘Datuk’ berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Suspek mendakwa tanah berkenaan atas namanya dan meminta mangsa membuat bayaran 10 peratus daripada harga tanah berkenaan sebagai bayaran permulaan.

“Mangsa kemudian membuat dua kali transaksi dengan jumlah RM6,000 ke akaun syarikat yang diberikan suspek.

“Selepas itu mangsa diminta membuat bayaran penuh sebelum dia membuat transaksi melalui bank draf sebanyak RM54,000 ke akaun yang sama.

“Mangsa juga sudah menandatangani surat perjanjian jual beli pada 4 April 2014. Namun pada September tahun yang sama, suspek meminta mangsa membuat bayaran untuk proses penukaran status tanah sebanyak RM3,511.90,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa tidak bersetuju dan sejak itu, ‘Datuk’ berkenaan memberi pelbagai alasan sehingga wanita itu membatalkan niat untuk membeli tanah lot berkenaan.

“Suspek berjanji akan memulangkan wang yang dibayar mangsa tetapi pesara guru itu hanya dibayar RM100.

“Sehingga hari ini nama mangsa juga tidak diletakkan dalam lot tanah berkenaan.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut di sini, kelmarin,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 11:44 AM